22 Oktober 2011- Badan Dakwah dan Kerohanian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(BADAR UPNM) melakukan lawatan ke UIA Gombak. Tujuan lawatan diadakan bagi mengeratkan hubungan bersama Ma'aruf Club yang juga merupakan satu badan dakwah dan kerohanian yang telah lama beroperasi di UIA. Seramai 15 orang jawatankuasa BADAR UPNM diketuai Pengerusi Mohamad Yaakob Yusra bin Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi, Habibah bt Omar Buang tiba di UIA lebih kurang pukul 2.30 petang.

Rombongan disambut oleh barisan kepimpinan Ma’ruf Club terdiri daripada Timbalan Presiden 2, Nurul Zahidah bt Mohd Zan, Ketua Unit Multimedia, Mohd Syaufiq Abd Latif, Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah, Mohd Arubi Ismail serta Timbalan Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah, Masturah binti Mohamed Makki. Turut hadir bagi meraikan kunjungan silaturahim ini ialah Presiden Ma’ruf Club, Mohd Eikhwan Mohd Ali.

Pertemuan petang itu diisi dengan perkongsian bermanfaat tentang kaedah-kaedah dakwah yang boleh dilaksanakan di peringkat universiti serta pelaksanaan dakwah yang boleh dibawa oleh Badan Dakwah dan Kerohanian UPNM. Persoalan mengenai sistem dakwah yang berkesan turut diberi perhatian dalam perbincangan tersebut. Di samping itu, Badar UPNM menzahirkan hasrat untuk memperkenalkan suasana Islam di kampus seperti menghidupkan aktiviti usrah di kalangan pelajar.

Pertemuan berakhir pada pukul 5.10 petang. Diharapkan kunjungan ini bukanlah yang terakhir, tetapi permulaan kepada kunjungan seterusnya yang akan mengeratkan lagi ukhwah sesama saudara yang berkongsi matlamat yang sama.